suria

Kerabat Diraja Brunei Puji Venue Polo KL2017

Putera Abdul Mateen dan kekandanya, Puteri Azemah Ni'matul menjalani latihan pertama mereka di Kelab Polo Diraja Selangor pada Rabu. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pasukan polo Brunei yang empat daripada anggotanya adalah kerabat diraja Brunei memuji venue acara polo Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas menjalani latihan pertama mereka di Kelab Polo Diraja Selangor (RSPC) di sini.

Putera Abdul Mateen Bolkiah, 26, dan kekandanya, Puteri Azemah Ni'matul Bolkiah, 33, tiba di sini Selasa, sempena temasya sukan dwitahunan itu.

“Venuenya sangat cantik, bercirikan padang polo tradisional. Ia berbeza dengan venue yang pernah kami sertai,” kata Putera Abdul Mateen dalam temu bual khas di RSPC di sini Rabu.

Kekandanya, Puteri Azemah Ni'matul berkata skuad polo Brunei menghantar pasukan baharu dan ia merupakan pengalaman pertama bagi pasukan itu.

“Kami teruja untuk menyertai acara ini tambahan pula semua pasukan terdiri daripada pemain profesional. Ini adalah pengalaman pertama kami menyertai Sukan SEA dan saya fikir pasukan lain sangat kompetitif,” katanya.

Kedua-dua pemain polo profesional ini juga berharap cuaca menyebelahi mereka sepanjang perlawanan itu.

“Jika hujan, ia akan sedikit menyukarkan dan jika hujan lebat ia akan membahayakan. Jika cuaca baik selamat untuk bermain,” kata Puteri Azemah Ni'matul.

Putera Abdul Mateen, dikenali ramai sebagai seorang yang aktif bersukan manakala kekandanya, Puteri Azemah Ni'matul antara dua pemain polo wanita bagi acara ekuestrian polo KL2017.

Perlawanan pembukaan KL2017 antara Malaysia dan Brunei berlangsung pada 22 Ogos di Taman Ekuestrian Putrajaya, akan menyaksikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berdepan dengan kerabat diraja Brunei.

Mengulas perkara itu, Puteri Azemah Ni'matul dan Putera Abdul Mateen berkata siapa jua lawan mereka, ia adalah adat perlawanan.

“Jika anda bertarung sebagai atlet, kita perlu memberi tumpuan penuh,” kata Puteri Azemah Ni'matul manakala Putera Mateen menambah, “Tidak kisah sama ada mereka kerabat diraja atau tidak, ia hanyalah sukan”.

Turut berangkat menyaksikan latihan itu ialah Putera Jefri Bolkiah, adinda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah yang juga merupakan pemain polo profesional.

RSPC menjadi venue kedua sekiranya Taman Ekuestrian Putrajaya tidak dapat digunakan sekiranya hujan lebat. - BERNAMA

polo, KL2017

Artikel Lain