BINTANG Barcelona, Lionel Messi sedang mempertimbangkan secara serius mengenai masa depannya di Camp Nou selepas kelab bergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City mengadakan mesyuarat dengan wakil pemain itu, lapor Daily Record. Messi menjaringkan 508 gol dalam 585 perlawanan untuk Barca sejak 2004. Dia turut membantu kelab gergasi Sepanyol itu menjulang lapan trofi La Liga dan Liga Juara-Juara (empat kali). Pemain berusia 30 tahun itu komited terhadap Barca selepas menandatangani kontrak baharu selama empat tahun bulan lalu. Namun spekulasi Messi bakal meninggalkan Camp Nou pada musim panas ini masih hangat diperkatakan. Daily Record melaporkan pertemuan antara pihak pengurusan tertinggi City dan wakil Messi diadakan di Barcelona minggu lalu. Messi dilaporkan kecewa dengan situasi yang melanda Barca selepas rakan pasukannya, Neymar dijual kepada Paris Saint Germain (PSG) bulan lalu. Barca kini berusaha keras untuk mendapatkan pengganti Neymar iaitu bintang Liverpool, Philippe Coutinho tetapi The Red tidak mengendahkan bidaan terbaharu kelab La Liga itu. City dilaporkan menaruh minat terhadap Messi sejak sekian lama dan Pep Guardiola berharap dapat mendapatkan khidmatnya sebelum jendela perpindahan pemain ditutup 31 Ogos ini. Turut dikaitkan dengan perpindahan ke City adalah Alexis Sanchez tetapi Arsenal enggan melepaskan bintang Chile itu.