suria

Kelincahan Akhyar Rashid Buat Lawan Panik

NEYMAR Malaysia mengakui menjadi sasaran pertahanan lawan atau mangsa bentesan ketika sedang berusaha untuk mendapatkan gol.

Muhd Akhyar Abdul Rashid berkata, dia sentiasa berusaha untuk mendapatkan jaringan buat skuad negara selepas diberi kepercayaan oleh Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, namun usahanya sering dinafikan menerusi bentesan lawan.

Menurut pemain berusia 18 tahun itu, bagaimanapun dia tidak menjadikan tindakan berkenaan sebagai alasan untuk berhenti berusaha.

"Saya bersyurkur dan berterima kasih kerana diberi kepercayaan oleh barisan jurulatih untuk berada di atas padang dan membantu rakan-rakan.

"Saya akan terus berusaha selagi diberikan peluang ini walaupun lawan akan cuba menyekat pergerakan saya.

"Saya masih muda dan banyak yang perlu dipelajari, peluang ini adalah untuk saya menimba pengalaman dan menjadi lebih matang," jelasnya yang sentiasa tersenyum walaupun keletihan.

Pemain Kedah itu memberitahu, dia akan terus berusaha untuk menjadi seorang penyerang terbaik untuk negara pada masa akan datang.

Muhd Akhyar turut mendapat pujian Kim Swee berikutan prestasinya yang semakin meningkat selain usahanya untuk menjadi lebih baik.

"Pemain Myanmar seperti tahu pergerakan Akhyar yang agak bahaya jika dibiarkan, sebab itu mereka mengawalnya dan menghalang dia daripada bergerak bebas.

"Masa akan menentukan kemampuan Akhyar dan dia perlu terus berusaha dan menimba sebanyak mana pengalaman jika ingin menjadi seorang pemain lebih baik pada masa akan datang," ujarnya.

Malaysia, Myanmar, KL2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain