suria

Barcelona Saman Neymar

BARCELONA nampaknya masih belum melupakan 'dendam' terhadap bekas pemainnya, Neymar Jr. yang berhijrah ke Paris St-Germain (PSG) apabila bakal mengambil tindakan undang-undang ke atas pemain termahal dunia itu.

Kelab Sepanyol itu akan menyaman pemain antarabangsa Brazil tersebut sebanyak 8.5 juta euro (RM43 juta) selepas melengkapkan rekod perpindahan dunia sebanyak 198 juta pound sterling (RM1.12 bilion) pada awal bulan ini.

Kini Barcelona mahu Neymar memulangkan semula bonus pembaharuan kontrak yang diterimanya ketika menandatangani kontrak lima tahun kira-kira sembilan bulan lalu.

"Kelab mahu pemain itu memulangkan semula wang yang diterima memandangkan dia tidak melengkapkan tempoh kontrak," jelas kelab berkenaan.

Selain itu, Barcelona mahu bayaran tambahan sebanyak 10 peratus disebabkan kelewatan pembayaran oleh kelab Perancis berkenaan.

"PSG perlu bertanggungjawab untuk pembayaran ini jika pemain tidak mampu berbuat demikian," jelas Barcelona menerusi satu kenyataan rasmi.

PSG turut melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Barcelona itu.

"Kelab ini mematuhi semua peraturan dan kesal dengan tindakan Barcelona," jelas kenyataan PSG.

Saman terbabit dikemukakan ke Tribunal Buruh di Barcelona pada 11 Ogos lalu. - BBC

Barcelona, Neymar

Artikel Berikut

Barcelona Tak Serik!

Artikel Lain