JUARA bertahan Liga Perdana Inggeris, Chelsea masih belum berputus asa bagi memburu penyerang untuk menggantikan Diego Costa yang mahu meninggalkan kelab itu. Terbaharu, kelab London tersebut dilapor sedia membida penyerang berbisa Leicester City, Jamie Vardy yang menempa nama sebagai pemain berporfil tinggi sejak dua musim lalu. Pemain berusia 30 tahun itu menjaringkan 24 gol ketika membantu Leicester City menjulang kejuaraan liga kira-kira 15 bulan lalu dan musim lepas dia menyumbang 13 gol. Usia dan harga Vardy menjadi perbincangan pengarah Chelsea, Marina Granovskaia untuk memastikan operasi kelab itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah kewangan. Granovskaia dan pengurus Chelsea, Antonio Conte sudah mengadakan siri perbincangan pada musim ini berhubung sasaran perpindahaan selepas pemilik kelab itu, Roman Abramovich memberi kepercayaan mereka berdua. Granovskaia percaya bahawa terdapa nilai yang lebih penting untuk menandatangani sama ada pemain muda atau tua berbanding mengeluarkan belanja besar bagi mendapatkan pemain bintang. Chelsea setakat ini sudah menghabiskan belanja sebanyak 70 juta pound sterling untuk Alvaro Morata, Tiemoue Bakayoko (70 juta pound sterling) dan Antonio Rudiger (31 juta pound sterling). Chelsea turut mendapat khidmat penjaga gol, Willy Caballero secara percuma. Selain Vardy, seorang lagi pemain Leicester, Danny Drinkwater turut dilaporkan semakin hampir ke Stamford Brigde dengan nilai perpindahan 30 juta pound sterling. - Mirror.uk