MASA depan perancang utama Arsenal, Alexis Sanchez kembali hangat diperkatakan bahawa pemain kelahiran Chile itu nekad mahu keluar dari kelab London tersebut. Kekalahan memalukan di tangan Liverpool pada Ahad mungkin membuatkan Sanchez lebih nekad meninggalkan Arsenal, apatah lagi dia mahu menempatkan diri dalam kelab yang beraksi di Liga Juara-Juara. Sanchez diturunkan buat kali pertama pada musim ini tetapi aksi bertenaga yang dipamerkannya tidak dapat membantu Arsenal melakar kejutan ke atas Liverpool, sebaliknya dikeluarkan lebih awal oleh Arsene Wenger. Desas-desus mengatakan pemain berusia 28 tahun itu sudah mengemukakan permintaan untuk berhijrah tetapi Arsenal menafikan perkara tersebut. Bekas pemain Barcelona itu menjadi buruan beberapa kelab terkemuka England dan Eropah sejak musim lalu selepas dia menyuarakan hasrat untuk mencari cabaran baharu. Antara kelab yang paling rapat dikaitkan dengan Sanchez adalah Manchester City dan Chelsea yang begitu mengidamkan khidmat pemain lincah tersebut. Dengan kontrak hanya berbaki setahun, nilai Sanchez mungkin munasabah untuk dibeli tetapi Wenger berkeras mahu menyimpan pemain tersebut sekurang-kurangnya sehingga tamat musim ini. Selain City dan Chelsea, Liverpool menjadi kelab terbaharu yang berminat untuk mendapatkan khidmat Sanchez, tambahan pula pemain bintang mereka, Phillippe Countinho semakin hampir menyertai Barcelona. Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester United juga dilaporkan berminat untuk menandatangani Sanchez tetapi tiada bidaan rasmi dibuat setakat ini. Selain kelab England, beberapa kelab Eropah juga menyuarakan hasrat untuk mendapatkan Sanchez dan antaranya adalah Bayern Munich, PSG dan AC Milan.