PERSATUAN Bola Sepak Inggeris mendakwa penyerang Newcastle United, Aleksandar Mitrovic kerana bertindak kasar pada perlawanan menentang West Ham United pada Sabtu.
Dalam saingan Liga Perdana itu, Newcastle menang 3-0 ke atas pasukan lawan.
Warganegara Serbia itu terlibat dalam pertembungan dengan pemain tengah West Ham, Manuel Lanzini ketika merebut bola pada minit ke-80 perlawanan yang berlangsung di St James' Park.
Insiden yang tidak dikesan pengadil bagaimanapun telah dirakam kamera dan visualnya diteliti panel melibatkan tiga pengadil elit.
Ketiga-tiga ahli panel sebulat suara memutuskan pemain berusia 22 tahun itu telah bertindak kasar dan diberi tempoh sehingga Rabu untuk memberi jawapan balas.