CHELSEA telah menandatangani kontrak dengan pemain antarabangsa England, Danny Drinkwater dari Leicester City, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu awal pagi Jumaat. Drinkwater, 27, menjadi pemain keenam yang menandatangani perjanjian dengan kelab itu selepas Willy Caballero, Antonio Rudiger, Tiemoue Bakayoko, Alvaro Morata dan Davide Zappacosta. Pemain antarabangsa England itu menandatangani kontrak lima tahun untuk berada di Stamford Bridge. "Saya gembira menjadi pemain Chelsea dan tidak sabar untuk bermula," kata pemain tengah itu kepada laman web rasmi kelab. “Untuk tiba ke sini ia adalah satu perjalanan panjang tetapi saya amat gembira dan saya tidak sabar untuk membantu kelab memenangi lebih banyak trofi." Drinkwater, yang menceburi bidang bola sepak melalui sistem pemain muda Manchester United, memenangi tiga gelaran di England sejak membuat penampilan antarabangsa pertamanya pada Mac 2016. -Eurosport