suria

Lemar 'Penentu' Nasib Sanchez?

Alexis Sanchez

ARSENAL secara prinsipnya telah bersetuju dengan perjanjian untuk menjual Alexis Sanchez ke Manchester City, menurut Daily Mirror.

Pep Guardiola dilihat nekad untuk membawa pemain bintang Chile itu ke Etihad walaupun tawaran pembukaan sebanyak £50 juta mereka ditolak awal minggu ini.

Arsene Wenger telah menyatakan secara terbuka bahawa Sanchez tidak akan dijual tetapi tawaran terbaru bernilai £55 juta dan £5 juta tambahan dianggap sebagai telah dipersetujui.

Walau bagaimanapun, Arsenal akan menunggu untuk melihat sama ada mereka boleh menandatangani Thomas Lemar dari Monaco sebelum melepaskan Sanchez keluar.

Pasukan utara London itu telah mengemukakan tawaran £90 juta yang menakjubkan untuk mendapatkan pemain Perancis itu yang mana Wenger pada minggu lalu menyatakan bahawa dia akan kekal di Monaco.

Bagaimanapun terdapat laporan terbaru muncul menyatakan bahawa walaupun Arsenal bersetuju dengan bayaran £90 juta, Lemar lebih berminat untuk menyertai Liverpool.

Ditanya mengenai sejauh mana minat Arsenal terhadap pemain itu Wenger minggu lalu berkata: "Ia sudah berkubur.”

“Monaco telah menutup pintu. Kes mereka sama seperti Kylian Mbappe dan Fabinho (yang hampir menyertai PSG).

“Mereka sudah kehilangan Mendy, Bernardo Silva dan Bakayoko, jadi Monaco berada di tahap di mana mereka telah menutup pintu,” katanya.

Masa depan Sanchez menjadi salah satu daripada kemelut perpindahan musim panas dan Arsenal dilihat akan mempertahankan Sanchez walaupun dia menolak untuk melanjutkan kontraknya di Emirates.

Pemain berusia 28 tahun itu juga telah dikaitkan dengan Bayern Munich dan Paris Saint-Germain sebelum ini tetapi tuntutan kontraknya menjadi penghalang utama. Sementara itu laporan dari negara kelahiran Alexis turut menunjukkan kesepakatan telah dicapai.

Carolina Fernández AS Chile berkata bahawa Sanchez telah memberitahu rakan sepasukannya dalam pasukan kebangsaan bahawa dia akan menjadi pemain City.

Salah seorang rakan sepasukan kebangsaannya Claudio Bravo secara kebetulan adalah penjaga gol City, jadi mungkin Bravo sudah tahu bahawa Sánchez akan menyertai kelabnya.

Menurut La Tercera, satu lagi akhbar Chile, para pemain Chile memuji Sanchez ketika dia memberitahu mereka mengenai perpindahannya ke City.

Artikel Sebelum

Rossi Patah Kaki

Artikel Berikut

Artikel Lain