PARIS Saint-Germain (PSG) mengesahkan menandatangani penyerang Kylian Mbappe dari Monaco. Pemain berusia 18 tahun itu akan menyertai kelab tersebut dalam pinjaman jangka panjang yang turut termasuk satu pilihan 'panggilan’ sehingga Jun 2018 untuk melanjutkan kontraknya secara tetap selama empat tahun. Mbappe yang dilahirkan di Paris berkata: "Saya menyertai Paris Saint-Germain dengan gembira dan penuh bangga. "Bagi mana-mana anak muda dari rantau Paris, ia sering menjadi impian untuk memakai jersi biru merah dan mengalami suasana Parc des Princes.” Ketibaan Mbappe adalah tambahan utama keempat dalam skuad PSG, selepas penandatanganan rekod dunia Neymar dari Barcelona dan penandatanganan Dani Alves serta Yuri Berchiche. Bercakap mengenai perpindahan musim panas PSG yang mahal, Mbappe menambah: "Saya benar-benar mahu menjadi sebahagian daripada projek kelab itu, yang merupakan salah sebuah kelab paling bercita-cita tinggi di Eropah. ”Selain rakan sepasukan baharu, saya berhasrat meneruskan perkembangan diri sambil membantu pasukan mencapai matlamat yang sangat besar yang telah ditetapkan.” Mengenai penandatanganan itu, Presiden PSG Nasser Al-Khelaifi berkata: "Saya mengalu-alukan ketibaan Kylian Mbappé dalam keluarga Paris Saint-Germain dengan penuh emosi dan kepuasan. "Penting untuk bola sepak Perancis terus membantu membangunkan bakat hebat seperti ini dalam kejohanan kita. Antara pemain seusia dengannya, dia adalah yang paling menjanjikan sesuatu di dunia kerana kualiti teknikal, fizikal dan mental yang sangat besar." -Eurosport