PENYERANG Liverpool Philippe Coutinho melalui satu 'penderitaan, kekecewaan dan kesedihan' menurut rakan sepasukannya di Brazil, Neymar. Diario Sport dan Marca melaporkan bahawa Barcelona, bekas kelab Neymar terdesak untuk menandatangani Coutinho sebelum jendela perpindahan di Sepanyol ditutup pada Jumaat, tetapi sumber yang rapat dengan Liverpool memberitahu ESPN FC bahawa kelab itu enggan mempertimbangkan untuk menjual Coutinho. Coutinho, yang muncul sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 Brazil ke atas Ecuador pada aksi Kelayakan Piala Dunia, Khamis, menyerahkan sendiri permintaan perpindahannya pada awal musim panas ini dan telah menyatakan keinginannya untuk menyertai Barca. Ditanya mengenai fikiran Coutinho, Neymar selepas perlawanan pada Khamis berkata: "Sayangnya, ia tidak menjadi saat-saat yang bahagia bagi dirinya dan keluarganya. "Sebaliknya ia menjadi satu penderitaan, kekecewaan dan kesedihan. "Saya suka melihat dia gembira kerana dia adalah rakan sepasukan dan kawan lama saya. "Dia diberi ganjaran gol hari ini, untuk kegembiraan kami dan dirinya sendiri." Jurulatih Brazil, Tite mengakui pemain tengah berusia 25 tahun itu telah bergelut dengan kesukaran minggu ini disebabkan spekulasi perpindahan dan masa depannya. "Sudah tentu ia memberi kesan kepadanya," katanya selepas perlawanan menentang Ecuador. Coutinho berada di bawah kontrak bersama Liverpool sehingga 2022.