ARSENE Wenger berkata dia yakin Alexis Sanchez kekal '100 peratus' komited kepada Arsenal walaupun urusan perpindahan bernilai £60 juta ke Manchester City pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan ditutup gagal. Laporan di Goal.com mendakwa Sanchez bengang dan 'tidak mahu bermain untuk Arsenal lagi' selepas kegagalan kelab itu menjualnya ke City disebabkan Wenger gagal meyakinkan Thomas Lemar dari Monaco untuk menyertai kelab tersebut. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan Sanchez yang masih mempunyai kontrak kurang dari satu tahun bersama kelab itu tidak akan komited dan menunjukkan prestasi seperti mana yang diharapkan oleh kelab. Wenger bagaimanapun berkata dia tidak bimbang dengan mentaliti pemain itu. Ditanya apakah Sanchez 100 peratus komited terhadap kelab itu, Wenger memberitahu beIN Sports: "100 peratus, saya tidak ragu-ragu tentang itu. "Kepentingan anda adalah sentiasa tunjukkan prestasi yang baik, anda tahu. Dia bukannya sangat hampir dan sangat sukar untuk bercakap tentang ini kerana kini apa yang saya mahu, pemain fokus kepada kerjayanya, kepada musimnya dan Kelab Bola Sepak Arsenal. "Saya juga percaya, saya telah bercakap sebelum ini tentang integriti dan nilai, dan saya selalu berfikir dulu, pastikan komitmen berada di tahap yang diharapkan daripada mereka yang membayar saya dan yakin dengan saya. Saya rasa di sisi pemain pun sama sahaja." Wenger turut mengesahkan bahawa Lemar telah menolak Arsenal walaupun tawaran £92 juta dibuat untuk pemain tengah itu, yang merupakan penandatangan terbesar dalam sejarah bola sepak Inggeris. "Lemar memilih untuk kekal di Monaco," katanya. "Anda perlu menghormati apa yang berlaku di pihak yang buat rundingan. Saya tahu kita hidup dalam era ketelusan tetapi pada tahap tertentu, untuk menghormati orang lain, anda tidak perlu terlalu banyak bercakap tentangnya."