suria

Annuar Musa Buat U-Turn?

PETALING JAYA: Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa disahkan akan bertanding merebut kembali jawatan tertinggi badan induk bola sepak negeri itu yang dilepaskan pada November tahun lalu.

Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor berkata Annuar dicalonkan bersama empat calon lain sekali gus menyaksikan pertandingan lima penjuru.

"Ya, memang benar Tan Sri (Annuar) kembali dicalonkan selepas tarikh tutup pencalonan berakhir pukul 5 petang Ahad," katanya kepada mStar Online.

Empat individu yang turut dicalonkan adalah dua Naib Presiden Kafa, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail; Pengerusi Chengal Jati Sdn Bhd Datuk Ir Shaari Hassan dan Pengurus Desa Murni Batik Kota Bharu Bibi Ramjani Ilias Khan.

Bagi jawatan timbalan presiden, Ismail berkata seramai empat orang telah dicalonkan iaitu pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah, Rosmadi, Mohamad Nasir dan Shaari.

Bibi Ramjani Ilias Khan.

"Untuk kuota tiga naib presiden bakal menyaksikan saingan 13 penjuru dari kalangan tokoh korporat, pentabdir, ahli politik dan sebagainya," kata Ismail.

Jelas beliau, nasib kesemua individu yang dicalonkan akan ditentukan seramai 52 perwakilan yang terdiri daripada ahli-ahli gabungan Kafa, 10 Persatuan Bola Sepak Jajahan, Persatuan Bola Sepak Melayu dan Persatuan Bola Sepak Cina Kelantan.

"Semua calon dikehendaki hadir ke pejabat Kafa bagi menandatangani pengesahan penerimaan pencalonan pada atau sebelum pukul 5 petang, 14 September ini," katanya.

Ismail berkata jika gagal berbuat demikian maka individu yang dicalonkan akan dianggap menolak pencalonan tersebut.

"Bagi calon-calon yang telah membuat pengesahan penerimaan, mereka ini boleh juga menarik diri sebelum tarikh ditetapkan," katanya.

Barisan kepimpinan baharu bagi penggal 2017-2021 akan ditentukan pada kongres tahunan Kafa yang berlangsung 17 September ini.

Kafa, Annuar Musa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain