PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa menyatakan pendiriannya untuk tidak bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) meskipun mendapat pencalonan bagi kerusi panas itu. Pendirian itu dibuat kerana beliau yakin terdapat ramai individu berkebolehan darinya untuk menerajui Kafa selain tidak mahu menggecewakan pihak yang tidak mahu melihatnya berjuang demi badan induk bola sepak itu. "Difahamkan nama saya masih dicalonkan untuk presiden Kafa dan ada beberapa nama lain. Usah kecewakan "pencinta" bola Kelantan yang sudah lama berjuang untuk saya tidak memimpin Kafa. "Saya tidak perlu bertanding kerana saya yakin ramai yang lain boleh buat lebih baik dari saya. 10 tahun sudah cukup lama. Dalam 10 tahun saya lalui suka duka dan masak dengan pelbagai masalah bola sepak," katanya dalam satu kenyataan di Facebook. Jelas Annuar, walaupun beliau tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam Kafa, beliau tetap berusaha mencari dana hampir RM8 juta menerusi syarikatnya untuk membantu skuad The Red Warriors (TRW). "Saya sehingga di gantung dalam Mara kerana bola Kelantan. Yang akhirnya saya memilih untuk berhenti dari Mara susulan beberapa peristiwa dalam Mara. "Semua saya redha demi TRW yang saya lahirkan dan saya kendong. Kini biarlah Kafa tanpa saya," katanya. Beliau juga percaya sebagaimana yang dinyatakan netizen bahawa Kafa dan bola sepak Kelantan akan bertambah baik dan kuat dengan kepimpinan baharu. "Selamat memilih saf pimpinan Kafa yang baharu. Selamat maju jaya," katanya. Pada Isnin, Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor mengesahkan Annuar dicalonkan bersama empat calon lain sekali gus menyaksikan pertandingan lima penjuru bagi jawatan presiden. Selain Ahli Parlimen Ketereh itu, empat individu lain yang turut dicalonkan adalah dua Naib Presiden Kafa, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail; Pengerusi Chengal Jati Sdn Bhd Datuk Ir Shaari Hassan dan Pengurus Desa Murni Batik Kota Bharu Bibi Ramjani Ilias Khan.