PENYERANG Juventus adalah salah seorang daripada lima pemain yang mempunyai bakat untuk menjadi pemain terbaik dunia, menurut bekas pemain hebat Michael Laudrup. Pemain yang dimaksudkan Laudrup adalah Paulo Dybala yang kini berusia 23 tahun. -fotoAP "Dybala dalam generasi akan datang bersama beberapa pemain muda berusia awal 20-an mampu mengambil alih tempat Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo apabila mereka bersara," kata Laudrup, 53, kepada CNN Sport. "Saya fikir dia mempunyai permulaan yang hebat untuk musim ini. Dia menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan pertamanya seperti Messi, dan dia memang bakat besar," katanya. Dybala telah menjaringkan gol dalam tempoh 43 minit dalam perlawanan Serie A musim ini, membawa kelab di bawah kendalian Max Allegri ini ke puncak carta liga. Dia yang telah menyarung jersi ikonik nombor 10 Juventus yang sebelum ini pernah dipakai oleh pemain seperti Michel Platini, Roberto Baggio dan Alessandro Del Piero, diharapkan dapat mencontohi kejayaan mereka di peringkat antarabangsa, yang mana dia kini masih belum menjaringkan gol dalam 10 penampilan. Laudrup, bekas pemain kelas dunia untuk Juventus dan Barcelona pada zamannya, tahu apa yang diperlukan untuk menjadi seorang pemain bintang. "Satu-satunya cara untuk menggantikan mereka adalah turun padang," katanya. "Anda tidak boleh melakukannya dengan hanya bercakap. Anda hanya boleh melakukannya dengan bermain sebaik mungkin dan yang pertama sekali menang perlawanan, seperti Messi dan Ronaldo lakukan selama 10 tahun lalu."