WAYNE Rooney dilaporkan tidak memohon cuti simpati daripada Everton sebagaimana yang diminta isterinya, Coleen supaya mereka dapat meluangkan masa bersama bagi menyelamatkan perkahwinan yang dibina selama sembilan tahun itu. Bekas bintang Manchester United itu ditahan selepas memandu dalam keadaan mabuk dalam kereta seorang wanita bernama Laura Simpson baru-baru ini. Dia akan didakwa di mahkamah pada 18 September ini. Namun menurut Sky Sports, Rooney tidak pernah meminta cuti daripada pengurusnya, Ronald Koeman. Rakan Coleen memberitahu The Sun bahawa, Coleen mahu mereka sekeluarga meluangkan masa bersama-sama. "Dia fikir penting untuk membawa diri ke tempat lebih jauh dan meluangkan masa bersama-sama dengan Rooney dan tiga anak mereka. "Dia meminta Rooney supaya memohon cuti simpati kepada Ronald Koeman tetapi (Coleen) percaya sukar untuk Rooney mendapatkannya. "Namun terdapat cuti perlawanan antarabangsa bulan depan, jadi Rooney mungkin terpaksa menunggu sedikit masa lagi. "Jika Rooney mahu menyelamatkan rumah tangganya, adalah penting untuk meletakkan bola sepak di tempat kedua," kata rakan Coleen. Penyerang berusia 31 tahun itu kembali menyarung jersi Everton selepas memperkuat United selama 13 tahun. Dia menjaringkan dua gol dalam lapan perlawanan untuk Everton setakat ini.