ALVARO Morata mendedahkan dia ditakdirkan untuk tidak menandatangani kontrak bersama Chelsea sehingga mengadakan perbualan dengan Antonio Conte pada musim panas ini. Pemain kebangsaan Sepanyol itu mempamerkan prestasi cemerlang dengan mengisi tugas berat yang ditinggalkan Diego Costa apabila menjaringkan tiga gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris setakat ini. Namun ia menjadi cerita berbeza buat pemain berusia 24 tahun itu yang dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United sebelum Jose Mourinho beralih arah kepada Romelu Lukaku. Morata mengakui dia berpendapat Lukaku akan menyertai Chelsea tetapi menjelaskan Conte memainkan peranan penting dalam perpindahannya ke Stamford Bridge. "Ya, saya terima pelbagai tawaran pada musim panas lalu bukan sahaja dari Chelsea dan Manchester United tetapi liga lain. "Ia situasi yang bagus untuk saya. Perkara paling penting dan perbualan terbaik saya bersama Conte adalah dia mahu saya datang ke sini. Pada awalnya saya tidak tahu Chelsea berminat terhadap saya. "Saya fikir mereka mahu pemain lain. Mungkin Lukaku atau sesiapa sahaja. Saya tidak tahu. Saya tidak fikir pilihan Chelsea amat terbuka. "Namun saya bercakap dengan Conte beberapa kali bukan sahaja pada musim panas ini. Sebaik sahaja saya tahu dia mahukan saya, saya tidak berfikir dua kali. Saya melakukan apa sahaja untuk memastikan perpindahan ini jadi kenyataan," kata Morata kepada Daily Mail. Menurut Morata, dia menjelaskan kepada Conte bahawa dia akan meninggalkan Real Madrid hanya untuk menyertai Chelsea. "Saya masih ingat lagi saya bersama isteri semasa berbual dengan Conte dan saya kata 'Chelsea akan menang liga musim ini.' Dan itu apa yang berlaku. Sekarang kita perlu mengulanginya lagi!," katanya.