BARCELONA dilaporkan cuba mendapatkan khidmat sasaran utama Manchester United, Antoine Griezmann pada musim panas lalu. Namun bidaan mereka bernilai 124 juta pound sterling ditolak Atletico Madrid. Bintang Perancis itu dianggap sebagai salah seorang penyerang terbaik Eropah buat masa ini tetapi memutuskan untuk kekal di Vicente Caldreon. Sekatan perpindahan Atletico pada musim panas bermaksud mereka tidak boleh mendapatkan pengganti Griezmann jika pemain itu meninggalkan pasukan berkenaan. Sebaliknya, Griezmann memilih untuk memperbaharui kontrak bersama Atletico dan klausa pelepasannya turut naik. Dengan pemergian Neymar ke Paris Saint Germain (PSG), Griezmann dijadikan sasaran utama Barca untuk memperkukuhkan jentera serangan Los Blancos, lapor Mundo Deportivo. Atletico bagaimanapun menolak tawaran tinggi daripada Barca terhadap Griezmann yang memberi bayangan mahu berhijrah ke Old Trafford pada Januari depan. Griezmann menjaringkan 84 gol dalam 163 penampilan untuk Atletico. Bekas ejennya, Eric Olhats mendedahkan tanpa sekatan Fifa ke atas Atletico, Griezmann mungkin sudah menyertai kelab lain. "Griezmann sekali lagi membuktikan kesetiaannya kepada kelab di saat mereka tidak boleh mendapatkan pemain baharu," kata Olhats.