PERPINDAHAN Diego Costa ke Atletico Madrid akhirnya dimuktamadkan apabila Chelsea bersetuju melepaskan pemain itu. Nilai perpindahan Costa dilaporkan mencecah 57 juta pound sterling termasuk beberapa syarat tambahan. "Kelab bola sepak Chelsea bersetuju syarat dengan Atletico Madrid untuk perpindahan Diego Costa. "Perpindahan itu tertakluk kepada persetujuan syarat peribadi dan perubatan," demikian menurut kenyataan dalam laman web Chelsea. Costa tidak beraksi bersama The Blues pada musim ini selepas dimaklumkan bahawa dia tiada dalam perancangan Pengurus Antonio Conte. Penyerang itu sudah diketahui umum akan kembali ke Atletico, kelab yang ditinggalkannya untuk menyertai Chelsea pada 2014 dengan perpindahan bernilai 32 juta pound sterling. Costa dijangka menjalani pemeriksaan perubatan dalam tempoh beberapa hari lagi. Atletico akan membayar 48 juta pound sterling termasuk 9 juta pound sterling bagi syarat tambahan berkaitan prestasi. Kelab La Liga itu masih menjalani sekatan perpindahan, jadi Costa hanya boleh mewakili Atletico pada Januari depan. Costa memainkan peranan penting di sebalik kejayaan Chelsea apabila muncul penjaring terbanyak kelab itu dengan 20 gol.