PETALING JAYA: Hanya dua langkah sahaja lagi untuk Felcra FC memastikan slot layak ke saingan Liga Perdana musim depan. Penyerang sensasi negara, N. Thanabalan berharap kelabnya ini dapat berjuang habis-habisan untuk saingan timbal balik suku akhir Piala FAM bertemu Terengganu City Rabu ini. Pemain kebangsaan berusia 22 tahun itu berkata, kehadiranya bukan sekadar untuk berpuas hati dengan keputusan seri "Pada aksi pertama sebelum ini (19 September), kami sekadar seri (1-1) bermain di tempat lawan. Terengganu City bukan calang-calang pasukan dan mereka boleh bersaing. "Pastinya mereka juga mahukan yang terbaik pada perlawanan kedua ini. Tetapi kami memiliki kelebihan sebagai tuan rumah dan jika seri 0-0, kami sudah layak ke separuh akhir. "Namun bagi saya, sebolehnya mahu mendapatkan gol dan mata penuh," jelasnya kepada mStar Online. Jelas Thanabalan, perlawanan ini penting bagi memastikan Felcra layak ke separuh akhir. "Jika layak kami akan berdepan dengan Sime Darby atau MOF. Kedua-dua juga bukan mudah. Tetapi alang-alang sudah sampai ke tahap ini, saya harapkan rakan sepasukan kekal fokus. "Jika layak ke final, kami secara automatik mara ke Liga Perdana musim depan," ujarnya yang dijangka akan dikawal ketat pada aksi suku akhir kedua di Arena Universitu Malaya (UM) Rabu ini. Dalam pada itu, Thanabalan belum pasti masa depannya bersama Felcra musim depan. "Saya masih mempunyai kontrak setahun bersama Negeri Sembilan. Kalau dipanggil balik, saya ikut sahaja," ujarnya yang bermain secara pinjaman di Felcra FC.