SELEPAS merealisasikan perpindahan semula ke Atletico Madrid dari Chelsea pada Selasa, kehadiran Diego Costa di Stadium Vincente Calderon dimalukan dengan jaringan Michy Batshuayi yang membantu pasukan lawan bangkit melakar kemenangan 2-1. Sebelum aksi sepak mula, Costa berkesempatan bertemu dengan bekas rakan pasukannya sebelum menyaksikan pertembungan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara itu dari tempat duduk istimewa. Costa tidak dapat memperkuat Atletico kerana pasukan itu masih dikenakan sekatan perpindahan pemain yang hanya akan berakhir Januari depan. Pemain kebangsaan Sepanyol itu kelihatan ceria sebaik sahaja Antoine Griezmann menjaringkan untuk tuan rumah menerusi sepakan penalti pada minit ke-40. Costa bertemu dengan bekas rakan pasukannya di Chelsea. Namun Chelsea bangkit menyamakan kedudukan menerusi Alvaro Morato 19 minit kemudian sekali gus membuktikan dia berupaya mengalas tanggungjawab yang ditinggalkan Costa. Chelsea seakan-akan enggan menyerah kalah apabila Batshuayi melengkapkan gol kemenangan pasukan itu pada minit ke-90 selepas merembat masuk hantaran Marcos Alonso. Kekalahan itu ternyata memberi tamparan hebat kepada Costa. Beberapa gambar riak wajah pemain berusia 28 tahun itu seolah-olah kecewa dengan kekalahan Atletico turut dirakam jurukamera.