SEKURANG-kurangnya 20 cedera selepas penghadang keselamatan di sebuah stadium runtuh semasa perlawanan bola sepak sedang berlangsung. Malang tidak berbau apabila puluhan penyokong yang meraikan gol jaringan Fode Ballo-Toure pada minit ke-15 di Amiens, Perancis terjatuh menghempap antara satu sama lain susulan insiden itu. Seramai tiga penyokong dilaporkan mengalami kecederaan parah. Beberapa lagi menerima rawatan di hospital selepas pasukan perubatan dikejarkan ke Stadium Stade de la Licorne. Perlawanan antara Amiens dan Lille dihentikan selepas insiden itu. Satu rakaman menunjukkan detik penyokong terjatuh menghempap antara satu sama lain menjadi tular di media sosial. Malah, beberapa penyokong lain dan pegawai bertugas dilihat cuba menyelamatkan mereka yang terlibat dalam insiden itu.