SERGIO Aguero akan direhatkan selepas enam minggu susulan kecederaan yang dialaminya ketika terlibat dalam nahas jalan raya di Amsterdam, kata doktor perubatan Argentina, Donato Villani. Pada awalnya, Aguero dilaporkan akan diketepikan selama dua hingga empat minggu akibat keretakan tulang rusuk, Khamis lalu. Keputusan terbaharu itu menyebabkan pemain berusia 29 tahun itu bakal terlepas dua aksi kelayakan Piala Dunia menentang Peru dan Ecuador dan pertemuan dengan Stoke City pada aksi Liga Perdana Inggeris, 14 Oktober ini. Namun Villani berkata Aguero mungkin berehat lebih lama daripada yang dijangkakan. "Kecederaannya amat teruk. Dia mungkin terpaksa direhatkan selama sebulan setengah. "Dia tidak boleh berjalan atau masuk dan keluar dari kereta. Dia kelihatan amat kecewa kerana dia mahu mewakili pasukan," katanya. City mungkin beraksi tanpa kelibat Aguero ketika aksi Liga Juara-Juara peringkat kumpulan menentang Napoli dan empat lagi perlawanan Liga Perdana Inggeris termasuk pertemuan dengan Arsenal pada 5 November depan. Ketika kejadian Aguero berada di Amsterdam untuk menyaksikan konsert penyanyi Colombia, Maluma. Insiden itu berlaku apabila teksi yang dinaikinya menuju ke lapangan terbang terlibat dalam kemalangan pada pukul 11 malam. Aguero mengakui dia mungkin mengalami kecederaan lebih teruk sekiranya tidak memakai tali pinggang keselamatan.