suria

Gagal Raih Gol Kedua Leburkan Harapan Australia

MELAKA: Kegagalan meraih gol kedua meleburkan harapan Australia untuk mendapat kemenangan berharga apabila skuad Socceroos itu hanya seri 1-1 dengan Syria dalam perlawanan play-off pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini malam Khamis.

Ketua Jurulatih Australia Ange Postecoglou (gambar) berkata semuanya mengikut perancangan apabila anak buahnya berjaya menguasai dan mengawal tempo permainan bagaimanapun beberapa jaringan mengenai tiang gol kemudiannya memberikan peluang kepada Syria untuk kembali bangkit dalam perlawanan.

“Saya sangat kecewa dengan cara mereka menamatkan permainan, kita mengawal perlawanan sehingga minit ke-60 dan mempunyai peluang untuk menamatkan perlawanan dengan gol kedua tetapi tidak berjaya.

“Apabila berjaya mendapat satu gol, kita mempunyai harapan untuk mendapat yang kedua. Pemain bermain bersungguh-sungguh selama 20 minit terakhir tetapi keadaan menjadi sedikit kacau dan mereka (Syria) kembali menguasai permainan,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan itu.

Australia, pasukan pilihan untuk perlawanan itu, mendahului pada minit ke-40 dengan jaringan Robbie Kruse, tetapi sepakan penalti oleh Omar Alsoma pada minit ke-85, selepas dikasari Mathew Leckie, memadam gol pendahuluan Australia.

Bagaimanapun, Postecoglou berkata pasukannya mempunyai kelebihan gol apabila menentang Syria yang dikenali sebagai The Red Eagles pada pusingan kedua di Sydney pada Selasa depan dan beliau bertekad untuk memastikan kejayaan pasukannya.

“Kami boleh bermain bersungguh-sungguh di laman sendiri dengan beberapa pemain baharu. Kami akan melakukan beberapa perubahan kepada kesebelasan utama, apabila bermain di rumah sendiri, kami menyerang dengan agresif. Kami mahu menjaringkan gol dan memanfaatkannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Syria Ayman Alhakeem berkata perlawanan itu merupakan persembahan penuh bersemangat daripada anak buahnya dan memuji usaha pasukan dengan keputusan seri itu.

Perlawanan play-off bola sepak Syria menentang Australia sempena kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

“Kami gembira dengan keputusan malam ini, kami bermain dan melakukan taktik dengan baik. Kami menghormati Australia kerana mereka mempunyai pemain yang handal tetapi pada masa sama kami tidak pernah berhenti bersaing dan mengimbangi perlawanan,” katanya.

Alhakeem berkata untuk pusingan kedua, beliau akan merangka beberapa perubahan taktikal dan persediaan khusus untuk menangani serangan agresif Australia.

“Kami biasa bermain dalam perlawanan yang sukar di bawah tekanan dan perlawanan (pusingan kedua) ini tiada bezanya. Kami akan membuat persiapan dan lebih banyak menyerang,” katanya.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menetapkan Malaysia sebagai gelanggang tuan rumah Syria berikutan ketidakstabilan di negara itu. - Bernama

Piala Dunia 2018

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain