SELEPAS sembilan bulan meninggalkan Chelsea, Oscar mengakui gembira di liga China, namun turut menyimpan kekesalan. Pemain tengah Brazil itu meninggalkan Stamford Bridge untuk menyertai Shanghai SIPG dengan pemindahan bernilai £60 juta. Pemain berusia 26 tahun itu mengakui faktor kewangan turut mempengaruhi perpindahan berkenaan. "Ketika saya membuat keputusan dan berpindah ke sini, saya hanya fikirkan keluarga berbanding karier. "Jika fikirkan karier memang saya mendapat banyak tawaran dari kelab Eropah, tetapi bila terfikir mengenai kelaurga, terfikir saya masih muda dan boleh kembali ke Eropah selepas ini. Menurut Oscar, demi berhijrah ke China, dia telah menolak tawaran Atletico Madrid dan tiga kelab gergasi Itali dan itu antara kekesalan pemain berkenaan. "Semasa berbincang dengan Shanghai, saya juga berkomunikasi dengan kelab besar dari Eropah. "Atletico Madrid antara yang saya hampir sertai. Saya sukakan kelab ini kerana mereka memberi tawaran menarik. "Saya juga mendapat tawaran dari Juventus, Inter Milan dan AC Milan. Tetapi saya memilih Shanghai kerana masih dapat kembali ke Eropah selepas ini," jelasnya kepada Copa90.