suria

Latihan Insentif Penyebab Skuad Wushu Cemerlang

Phoon Eyin (kiri), Loh Ying Ting (tengah) dan Tan Cheong Min (kanan) ketika beraksi pada Kejohanan Dunia Wushu ke-14 di Kazan, Rusia. - Chen Wei Seng

SEPANG: Keputusan cemerlang diraih skuad wushu negara pada Kejohanan Wushu  Dunia Ke-14 di Kazan, Rusia baru-baru ini, membuktikan latihan intensif yang dilakukan beberapa tahun lepas, membuahkan hasil yang positif.

Jurulatih negara, Lim Yew Fai berkata, beliau sangat berpuas hati dengan prestasi ditampilkan anak buahnya, terutama tiga peserta wanita yang pertama kali beraksi pada kejohanan dua tahun sekali tersebut iaitu Tan Cheong Ming, Loh Ying Ting dan Audrey Chan Yee Jo yang mempamerkan pencapaian cemerlang.

“Beberapa atlet melakukan kesilapan kecil pada kejohanan berkenaan, namun saya gembira dengan prestasi keseluruhan dan saya berharap kita boleh melakukan yang lebih baik pada Sukan Asia 2018 atau kejohanan lain pada masa akan datang.

“Tiga muka baharu ini menunjukkan prestasi terbaik dan saya berharap mereka mendapat pengalaman berharga bersaing dengan peserta wushu terbaik dunia,” katanya kepada pemberita sejurus ketibaan pasukan berkenaan dari Rusia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis.

Malaysia meraih dua pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa untuk menduduki tempat keempat keseluruhan.

China muncul juara selepas memenangi lapan emas dan lapan gangsa, diikuti Hong Kong di tempat kedua (5-3-3), manakala Indonesia dan Korea Selatan berkongsi kedudukan ketiga setelah merangkul dua emas, empat perak dan satu gangsa.

Dua pingat emas diperoleh Malaysia adalah menerusi Wong Weng Son dalam acara jianshu lelaki  (pedang) dan gandingan Phoon Eyin, Loh Ying Ting dan Cheong Min menerusi kategori duilian wanita (pertarungan). - Bernama

wushu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

England Tidak Akan Jadi Sepanyol

Artikel Lain