PENGURUS England, Gareth Southgate tidak berselindung tentang hala tuju pasukannya dalam susunan kedudukan bola sepak selepas kemenangan yang tidak meyakinkan 1-0 ke atas Slovenia. Namun, perlawanan yang berlangsung pada Khamis itu tetap melayakkan mereka ke final Piala Dunia 2018. Sebelum penyerang pasukan itu, Harry Kane berjaya menjaringkan gol empat minit sebelum masa penamat, ada kemungkinan besar penyokong sendiri akan menggelakkan mereka di Stadium Wembley. Kata Southgate, perkara paling penting kini adalah England sudah melaksanakan tanggungjawab untuk layak ke Rusia tahun depan. Kapal terbang kertas dilayangkan ke padang ketika perlawanan England menentang Slovenia di Stadium Wembley. "Malam ini kami menunjukkan di mana kedudukan kami. Adakah ia tentang persembahan atau kemenangan yang kami mahukan? Tidak, sudah tentu tidak. "Saya rasa penyokong ingin datang untuk melihat jaringan dan dihiburkan. Memang jelas kami boleh bermain lebih baik. Anda tahu apa yang anda mahu dan apa yang realistik," katanya kepada pemberita. "Adakah kami akan menjadi Sepanyol dalam tempoh lapan bulan yang akan datang? Tidak. Mereka memiliki skuad penuh yang telah memenangi Liga Juara-Juara. Tambah Southgate: "Kami belum mempunyai pemain yang telah membuktikan diri mereka pada peringkat itu. "Tetapi kini mereka mempunyai peluang untuk bermain di peringkat itu di Piala Dunia nanti, itulah sebabnya kami perlu ke sana." - Eurosport