PETALING JAYA: Hasrat Raja Pecut Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan untuk menjalani latihan bersama pelari pecut muda Jepun, Abd Hakim Sani Brown tidak kesampaian kerana bakal menjalani latihan di Mannheim, Jerman pada Februari depan. Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim berkata latihan selama sebulan itu adalah sebagai persediaan ke Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Birmingham, bermula 1 hingga 4 Mac, kerana mahu anak buahnya mencatatkan masa yang baik dalam penyertaan sulung dalam temasya itu. “Bagi saya, apa jua kejohanan yang besar disertai Khairul, saya mahu beliau mencatatkan masa yang disasarkan, bukan sekadar menyertai. Buat masa ini beliau baru pulih daripada kecederaan hamstring, kita hanya fokus pada latihan biasa, belum mula latihan masa. “Kita juga sedang melihat perancangan untuk terus ke Australia dari Birmingham untuk persediaan ke Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, tetapi belum pasti,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan insentif daripada 100 Plus di sini, Rabu. Mohd Poad berkata ia merupakan tempat yang sama, di mana Khairul bersama-sama dengan Badrul Hisyam Abdul Manap (100m), Mohd Rizzua Haizad (100m berpagar) dan R. Kirthana (lompat kijang) membuat persiapan untuk Kejohanan Remaja Dunia di Poland dan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tahun lalu, yang menyaksikan Khairul memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.18s di Sukma. Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini, meminta Mohd Poad untuk mengkaji balik perancangannya membawa pemenang pingat emas Sukan SEA itu ‘berguru' di Jepun kerana kesuntukan masa dan kos yang tinggi. Mohd Poad juga berharap pasukan lari berganti-ganti 4x100m lelaki akan turut diberikan peluang mengikuti latihan bersama Khairul Hafiz di Jerman untuk mencatatkan keputusan positif di Sukan Komanwel pada April dan Sukan Asia di Indonesia pada Ogos depan. Sementara itu, Khairul Hafiz mengakui bakal mendepani cabaran berlainan apabila membuat penampilan sulung pada Kejohanan Dalam Dewan Dunia kerana ia hanya melibatkan jarak 60m, berbanding acara trek yang mempunyai disiplin 100m dan 200m. “Saya yakin ia akan menjadi satu pengalaman baharu bagi saya. Pada awalnya saya mahu pergi ke Jepun kerana nak lawan dengan Abd Hakim, kerana beliau merupakan atlet muda sensasi dan umurnya pun hanya muda setahun,” katanya. Anak kacukan Jepun dan Ghana berusia 18 tahun itu yang mempunyai catatan masa peribadi terbaik 10.05 saat bagi 100m dan 20.32s bagi 200m, berbanding Khairul yang pernah mencatatkan 10.18s dan 20.90s, mampu menjadi rakan sepelatih yang mampu melonjakkan prestasi atlet kelahiran Melaka itu. Terdahulu, Khairul dan pemain badminton perseorangan wanita Goh Jin Wei, yang juga merupakan duta jenama 100 Plus, menerima insentif sebanyak RM10,000 seorang daripada syarikat minuman isotonik itu, namun Jin Wei tidak dapat hadir kerana sedang beraksi dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Yogyakarta, Indonesia. Pengurus Pemasaran 100 Plus, Leong Wain Yin berkata insentif itu bertujuan memberi motivasi kepada dua duta muda jenama itu atas kejayaan meraih emas Sukan SEA dengan menamatkan penantian 14 tahun, dengan Khairul mencatatkan 10.38s, manakala Jin Wei menundukkan rakan senegara Soniia Cheah 21-11, 21-10 pada aksi akhir.- Bernama