KEDAH bakal berlepas ke Jengka, Pahang bagi menentang Felda United pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia dalam keadaan lebih baik. Ketua Jurulatihnya, Mohd Nidzam Adzha Yusuf berkata, berbanding dengan perlawanan Liga Super yang menyaksikan Kedah tewas kepada Felda United bulan lalu, persiapan sebaiknya telah dibuat untuk aksi kali ini. Jelasnya, walaupun menyedari pasukan lawan mempunyai kekuatan tersendiri, namun skuad hijau kuning akan berangkat dengan misi tiga mata sebelum perlawanan kedua. "Ketika menentang Felda dalam Liga Super, keadaan pasukan kita sedikit berbeza kerana kita menggunakan pemain simpanan berikutan kecederaan beberapa pemain. "Tetapi sekarang semuanya kembali pulih dan kita telah membuat persiapan lebih baik untuk memastikan tidak kecewa di Jengka. "Saya yakin dengan kemampuan pemain walaupun Felda menunjukkan perkembangan positif sejak akhir-akhir ini. "Pemain juga tahu bertapa pentingnya kemenangan dalam perlawanan ini untuk kita sekali lagi ke perlawanan akhir nanti," katanya kepada mStar Online. Nidzam memberitahu, setakat ini hanya Syawal Nordin yang mengalami kecederaan ketika latihan manakala pemain lain berada dalam keadaan bersedia. Tambahnya, selain kesebelasan utama terbaik, Kedah juga perlukan sokongan peminat skuad hijau kuning untuk membakar semangat sepanjang perlawanan berkenaan. Jelasnya, ia terbukti dalam perlawanan sebelum ini apabila pemain berjuang habis-habisan selepas mendapatkan sorakan semangat penyokong.