JURGEN Klopp berpendapat pemilik Liverpool gagal mencari seorang pengurus baharu yang lebih hebat daripadanya. Pengendali berusia 50 tahun itu menerima tekanan daripada penyokong Liverpool selepas kecewa dengan prestasi tidak menentu pasukan tersebut pada awal musim ini. Klopp merekodkan pungutan mata yang sama selepas enam perlawanan seperti dilakar Brenden Rodgers ketika mengemudi Liverpool sebelum dia dipecat pada 2015. Malah, Klopp dikatakan gagal mencari jalan penyelesaian untuk memantapkan benteng pertahanan The Reds yang nampak goyah apabila membiarkan gawang pasukan dibolosi dengan 12 gol dalam tujuh perlawanan. "Ya, ia tugas yang sukar. Adakah kita berada di tempat yang sepatutnya? Tidak pasti. Adakah kita sudah lakukan yang terbaik berbanding musim lalu? Ya. Adakah kita akan jadi lebih baik tahun ini? Ya," kata Klopp. "Namun kita tidak dapat keputusan yang baik setakat ini. Namun ia tidak bermaksud kita harus berhenti? Tidak. "Kita perlu memperbaiki situasi sekarang. Jika tidak kita akan berada pada kedudukan keempat seperti musim lalu," katanya. Klopp berkata jika beliau tiba di Anfield sebagai pengurus baharu dan semua orang memberi masa kepadanya untuk memperbetulkan keadaan, segalanya akan menjadi sempurna. "Malangnya jika mereka pecat saya sekarang, saya tidak fikir ada ramai pengurus yang akan buat tugas mereka dengan lebih baik daripada saya. "Saya tidak fikir saya terbaik tetapi agak sukar untuk mencari pilihan yang lebih baik. "Jadi saya masih fikir selagi 98 peratus penyokong percaya kita berada di landasan yang betul, kita akan berjaya," katanya.