KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memulakan kempen memburu gelaran ketiga Siri Super Premier Terbuka Denmark dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua di Odense, Denmark, awal Khamis. Chong Wei, yang memenangi kejohanan itu pada 2005 dan 2012, hanya memerlukan masa 37 minit untuk mengalahkan pemain Sepanyol, Pablo Abian, 21-12 dan 21-16 pad aksi pusingan pertama di Odense Sports Park. Dalam perlawanan pusingan kedua, Chong Wei, selaku pemain ranking ketujuh dunia itu, akan menentang H.S. Prannoy pada lewat malam Rabu selepas pemain India itu turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain tuan rumah, Emil Holst, 21-18 dan 21-19. Dalam acara beregu lelaki, bekas pemain negara, Tan Boon Heong yang berganding dengan bekas juara Olimpik, Hendra Setiawan dari Indonesia, terpaksa berhempas pulas untuk menempah slot pusingan kedua apabila menyingkirkan beregu Thailand, Kittinupong Kedren/Dechapol Puavaranukroh 21-19, 15-21 dan 21-16. Dalam acara beregu wanita, beregu negara Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean turut melepasi halangan pertama dengan mengalahkan beregu India, Ashwini Ponnappa/Reddy N. Sikki dalam rubber-set 15-21, 21-18 dan 23-21. Bagaimanapun, satu lagi beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei gagal melepasi pusingan pertama kejohanan bernilai US$750,000 (RM3.170 juta) itu selepas kalah 17-21 dan 14-21 kepada beregu pilihan kelima, Huang Dongping/Li Yunhui dari China.- Bernama