SANDRO Da Silva mengakui sedar mengenai kebimbangan penyokong yang melihatnya agak berumur untuk terus berbakti buat skuad Hijau Kuning. Namun, penjaring dua gol kemenangan buat Kedah pada separuh akhir Piala Malaysia ketika menentang Felda United itu meminta penyokong memberi kepercayaan kepadanya pada perlawanan akhir ini. Bagi pemain berusia 34 tahun itu, umur adalah angka dan kemampuan serta keyakinan dirinya untuk berjuang buat Kedah adalah perkara penting ketika ini. "Saya sedar ramai peminat setia Kedah mengatakan saya sudah berumur, tetapi umur hanya angka sahaja... semangat dan kesungguhan saya dan semua rakan sepasukan telah memastikan kami meraih kemenangan 2-0. "Walaupun terdapat kekurangan tiga tonggak utama, namun kami telah berjuang untuk semua peihak termasuk penyokong yang sentiasa kami hargai. "Oleh itu, saya akan beraksi dengan sepenuh hati bagi memastikan pasukan Kedah meraih kemenangan pada perlawanan akhir nanti, ini juga peluang berharga selepas tidak dapat mewakili Kedah musim lalu. "Fokus kami selepas ini ialah untuk mengekalkan Piala Malaysia di Kedah. Kami akan berjuang habis-habisan untuk memastikan penyokong tidak pulang hampa," jelasnya. Pemain import dari Brazil itu menambah, pasukan lawan pada final nanti merupakan sebuah skuad yang hebat dan ia akan membakar semangat pemain untuk lebih bekerja keras. Menurut Sandro, Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof pastinya mempunyai ramuan terbaik untuk perlawanan akhir nanti. "Beberapa rakan yang tidak dapat beraksi pada perlawanan separuh akhir juga akan kembali memperkuatkan pasukan ini. "Oleh itu kami akan memberikan yang terbaik untuk menjulang piala kedua pada musim ini," jelasnya.