SEPANG: Pelumba Itali Andrea Dovizioso menghidupkan kembali harapannya memburu kejuaraan musim ini, apabila memenangi perlumbaan MotoGP Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang di sini, Ahad. Pelumba 31 tahun yang mewakili pasukan Ducati melepasi garisan penamat dengan masa 44 minit dan 51.497 saat dalam keadaan litar basah selepas hujan lebat sebelum perlumbaan bermula. Dengan kemenangan ini, Dovizioso yang juga juara di Sepang tahun lepas memperoleh kemenangan ketujuhnya dalam musim ini dan kelapan dalam kerjayanya sejak mula bermula di dalam kelas tertinggi Grand Prix motosikal ini sejak 2008. Dovizioso bermula dari petak ketiga sebelum memotong Jorge Lorenzo pada selekoh nombor 15 dalam pusingan ke-16 dan rakan sepasukannya itu kemudian menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 44:52.240s sementara Johann Zarco daripada pasukan Monster Yamaha Tech 3 yang kali pertama berlumba dalam MotoGP musim ini di tempat ketiga dengan catatan 45:01.235s. Kemenangan ini membolehkan pelumba Itali itu mengurangkan perbezaan mata dengan pendahulu kejohanan dan juga juara bertahan Marc Marquez daripada pasukan Repsol Honda kepada 21 mata daripada 33 mata, selepas pelumba itu hanya menamatkan perlumbaan di tempat keempat, 17.763s di belakang Dovizisio. Juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi daripada Movistar Yamaha MotoGP melintasi gariasan penamat di tempat ketujuh dengan masa 45:22.266s dalam perlumbaan 20 pusingan itu. Juara dunia tiga kali, Marquez mendahului kedudukan kejuaraan dunia dengan 282 mata, sementara Dovizioso di tempat kedua dengan 261 mata, diikuti pelumba Movistar Yamaha MotoGP, Maverick Vinales dengan 226 mata dan Rossi dengan 197 mata. Dovizioso berkata:“Ini adalah hujung minggu yang sempurna bagi kami, kami amat pantas di dalam latihan pertama dan adalah sukar untuk menjadi pantas dan kuat. "Kami mempunyai kadar kelajuan yang baik untuk bersaing dan di dalam litar basah, cengkaman tayar kami amat baik saya tidak menjangka perlumbaan hujung minggu ini adalah sengit. " "Mujurlah tiada pelumba yang mengasak dari belakang, memberikan masa kepada saya memahami unsur-unsur positif saya dan memperbaiki unsur negatif dan berjaya mengejar Lorenzo saya tidak fikir Marquez tertekan kerana selepas hujung minggu yang aneh, hujung minggu yang sukar, dia menamatkan perlumbaan di tempat keempat. "Beliau (Marquez) mempunyai musim yang hebat dan selalu mampu beraksi dengan baik walaupun dalam keadaan yang sukar, kerana itulah beliau berada di kedudukan pertama. Di Valencia, beliau akan lebih kompetitif dari mula, jadi kami perlu menggunakan pendekatan sama seperti di sini, pantas. berdaya saing dan memenangi perlumbaan,” katanya dalam sidang media pascaperlumbaan di sini. Persaingan untuk Kejuaraan Dunia 2017 dijangka sengit di pusingan ke-18 dan terakhir di Valencia, Sepanyol pada 12 November ini. - Bernama