suria

‘Kami Tak Perlu Menang Piala Malaysia Untuk Buktikan Siapa Raja’

JDT akan bertemu Kedah di pentas final Piala Malaysia, Sabtu ini. fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Pengarah Teknikal Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Alistair Edwards menegaskan skuad Harimau Selatan itu tidak perlu memenangi Piala Malaysia untuk membuktikan siapa 'raja bola sepak Malaysia'.

Jelasnya, JDT telah memenangi lapan piala dalam tempoh empat tahun setengah.

"Kami telah mencipta sejarah demi sejarah. Kami menjadi kelab pertama dalam negara bukan sahaja memenangi liga untuk tiga tahun berturut-turut tetapi empat tahun berturut-turut.

"Kami juga telah melakar sejarah dalam peringkat antarabangsa apabila menjadi kelab pertama dalam negara melepasi peringkat separuh akhir Piala AFC sekali gus memenangi Piala AFC," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers pada Isnin.

Malah, Edwards berkata JDT turut bermain sebanyak tiga kali berturut-turut di peringkat kelayakan Kejohanan Bola Sepak Liga Juara-Juara Asia (ACL), prestasi yang tidak mampu dilakukan kelab lain dalam negara ini.

Katanya, dengan projek dan kejayaan yang dilakar JDT, ia membuktikan bahawa dunia luar lebih memberi pengiktirafan kepada mereka berbanding negara sendiri.

"Jadi, kami tidak perlu membuktikan siapa raja bola sepak tanah air kerana negara-negara dan pihak-pihak luar tahu siapa raja bola sepak tanah air yang sebenar," katanya.

JDT mara ke final Piala Malaysia selepas menang dengan agregat 4-1 ke atas  Perak, 21 Oktober lalu.

Kejayaan itu turut menyaksikan JDT dua kali layak ke pentas final selepas 2014, namun pencapaian terbaik itu dikecewakan Pahang yang menang menerusi penentuan sepakan penalti 5-3.

JDT akan bertemu Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, 4 November ini.

Kedah pula mara ke pentas final selepas menang dengan agregat 3-1 menewaskan Felda United.

Setakat ini, Piala Malaysia adalah satu-satunya trofi yang belum dikecapi JDT.

JDT, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain