ALVARO Morata tidak pernah menjaringkan sebarang gol ketika menentang Roma sepanjang kariernya meskipun beraksi lima kali menentang kelab Itali itu. Penyerang Chelsea itu juga tidak mencipta peluang gol dalam lima pertemuan itu termasuk ketika terikat 3-3 apabila menentang pasukan Serie A itu, dua minggu lalu. Morata dan rakan sepasukannya akan bertemu Roma untuk aksi peringkat kumpulan pada awal pagi Rabu. Antonio Conte dijangka menurunkan barisan terkuatnya dalam merebut kedudukan teratas Kumpulan C. Malah Morata kini mengharapkan bantuan Eden Hazard untuk menamatkan badi tanpa gol ketika menentang Roma. "Ketika menentang Roma saya tidak pernah menjaringkan sebarang gol. Kami cuba melakukannya awal pagi esok. Saya pernah beraksi lima kali tapi saya akan cuba menjaringkan gol esok. "Hazard, kami ada persefahaman, dia salah seorang pemain terbaik dunia. Kami perlu bermain lebih banyak perlawanan," katanya. Hazard dan Morata sudah mula menyesuaikan diri antara satu sama lain ketika digandingkan bersama di Chelsea. Conte turut kecewa apabila kedua-dua pemain itu bergelut dengan masalah kecederaan sehingga menjejaskan rentak permainan pasukan itu pada aksi Liga Perdana Inggeris. Namun, Chelsea mempamerkan prestasi cemerlang di pentas Liga Juara-Juara.Dengan dua kemenangan dan satu keputusan seri, Chelsea dalam kedudukan terbaik untuk merebut tangga teratas Kumpulan C jika menang ke atas Roma. "Saya fikir kumpulan kami adalah kumpulan sukar dengan Atletico dan Roma juga antara pasukan kuat. "Untuk berada di tangga teratas amat penting, kami akan cuba berdepan semua perlawanan," katanya.