ALVARO Morata terpaksa membuat pusingan-U yang memalukan selepas kenyataannya yang mengejutkan sekali gus menimbulkan keraguan tentang masa depannya di Chelsea. Morata dalam satu temu bual mendakwa dia tidak melihat dirinya akan tinggal 'sangat lama' di London kerana mendapati kota itu terlalu besar dan penuh tekanan. Tetapi menjelang pertembungan Liga Juara-Juara dengan Roma, dia 'berpatah balik' dengan menyatakan bahawa dia gembira untuk kekal di Stamford Bridge selama 10 tahun lagi. Morata, yang menandatangani kontrak lima tahun dengan nilai perpindahan £70 juta dari Real Madrid berkata: "Saya ingin menyatakan sekali lagi bahawa timbul salah faham dalam temu bual itu. "Jika Chelsea menawarkan saya 10 tahun kontrak, saya mungkin menandatanganinya. Saya gembira dengan kelab ini, di bandar ini, dengan segala-galanya di London. "Saya sangat sukakan London dan mungkin, jika saya memperbaiki diri saya, saya boleh tinggal di sini lebih dari lima tahun. "Tetapi saya perlu menjaringkan banyak gol, jika tidak Chelsea akan membeli pemain lain." -fotoREUTERS Dalam temu bual dengan akhbar Itali yang diterbitkan pada Isnin, penyerang Sepanyol itu berkata: "Saya tidak melihat diri saya dapat tinggal di sini untuk jangka masa yang panjang. Ia terlalu besar, terlalu banyak tekanan, terlalu banyak metropolis." Kenyataannya itu telah menimbulkan keraguan kerana Diego Costa pernah membuat kenyataan yang hampir sama sebelum ini sebelum terpaksa kembali ke Atletico Madrid. Tetapi Morata kemudian kembali menjelaskan tentang kenyataannya itu dalam sidang akhbar sebelum perlawanan dengan Roma. "Saya mahu katakan, mungkin pada masa depan, bila saya sudah tamatkan karier saya, saya tidak akan tinggal di London. "Tetapi sekarang, pada masa ini, saya sangat gembira di London dan menjalani hidup dengan isteri saya. "Mungkin, pada masa akan datang, bila saya perlu membawa anak saya ke sekolah, saya lebih suka kembali ke negara saya. "Bagi saya, saya lebih suka tempat kelahiran saya. Tetapi sekarang saya sangat gembira. Apabila saya kata bandar ini penuh tekanan, saya hanya bercakap tentang lalu lintas dan jumlah penduduk yang ramai. "Tetapi ia adalah sebuah bandar yang luar biasa dengan banyak agama dan pelbagai jenis manusia, jadi saya juga sukakan London." -fotoREUTERS Pengurus Chelsea, Antonio Conte juga menafikan kontroversi itu, menegaskan bahawa dia tahu Morata gembira dan dia kini tinggal di bangunan yang sama dengan kediamannya musim lalu. Dia berkata: "Saya fikir Alvaro adalah seorang yang baik dan sukakan London dan Chelsea, sebuah pasukan hebat. "Saya tahu sangat di mana dia tinggal bersama isterinya. Ia adalah bangunan yang sama dengan saya musim lalu. Tempat yang indah dan tidak jauh dari tempat latihan," katanya. -expressUK