suria

Kelayakan AFC B-19: Malaysia Tewaskan Timor Leste

Pemain Malaysia (kanan) cuba menghalang pemain Timor Leste. Foto:AFC

KUALA LUMPUR: Pasukan bola sepak negara Bawah 19 Tahun (B-19) memulakan langkah kanan dengan mengutip tiga mata pertama selepas menewaskan Timor Leste 3-1 pada perlawanan pertama pusingan Kelayakan Kejohanan Remaja B-19 AFC 2018.

Babak pertama perlawanan yang berlangsung di Stadium Paju, Korea Selatan itu menyaksikan anak didik ketua jurulatih Bojan Hodak gagal menjaringkan sebarang gol.

Namun pasukan negara tampil agresif selepas penjaga gol Timor Leste, Frangenio Da Cruz gagal menyelamatkan gol oleh Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak pada minit ke-53.

Nik Akif Syahiran Nik Mat kemudian menggandakan gol buat Malaysia pada minit ke-68  sebelum Muhammad Zhafir Md Yusof mengesahkan kemenangan pasukan pada minit ke-77.

Gol tunggal buat Timor Leste hanya berjaya dijaringkan oleh Filomeno Junior Da Costa pada masa tambahan.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan F dijadualkan bertemu Brunei pada 4 November diikuti perlawanan menentang Indonesia pada 6 November dan Korea Selatan bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 8 November.

Kelayakan Kejohanan Remaja B-19 AFC 2018 adalah penentu pasukan yang mengambil bahagian pada Kejohanan Remaja B-19 AFC 2018 di Indonesia.

Indonesia secara automatik layak tanpa mengira keputusan kelayakan bersama-sama 16 pasukan lain yang akan bermain dalam kejohanan akhir.

Kejohanan akhir juga bertindak sebagai penentu kelayakan AFC bagi Piala Dunia B-20 Fifa 2019 yang akan dipilih oleh Fifa dengan empat pasukan teratas akan layak menyertainya. -Bernama

AFC B-19

Artikel Sebelum

Artikel Lain