suria

Status Zahasmi Ditentukan Bulan Depan

PETALING JAYA: Teka-teki mengenai kedudukan Zahasmi Ismail bersama Kelantan hanya akan ditentukan dalam mesyuarat Exco Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang dijangka diadakan bulan depan.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata Zahasmi ada memaklumkan bahawa dia ada dirisik kelab lain.

Malah, jelas Bibi, tempoh cuti yang dipohon pengendali berusia 50 tahun itu sudah berakhir manakala kontraknya pula tamat bulan depan.

"Status dia kena tunggu mesyuarat Exco (Kafa) yang akan diadakan bulan depan. Lagipun dia pernah beritahu ada terima tawaran dari kelab lain.

"Namun kita akan bincang dengan dia nanti mengenai perkara ini," katanya kepada mStar Online.

Bibi berkata, mesyuarat itu juga akan membincangkan mengenai status pemangku jurulatih TRW, Sathit Bensoh.

mStar Online sebelum ini melaporkan, Zahasmi tidak menolak kemungkinan dia akan berehat sehingga akhir musim ini.

"Tak tahulah, saya belum buat keputusan lagi. Saya masih ada kontrak sehingga bulan November. Mungkin cuti seminggu, mungkin seterusnya atau cuti terus. Hanya keadaan yang akan menentukannya," kata Zahasmi.

Pada masa sama, Zahasmi berkata keputusan untuk berehat seketika daripada mengemudi skuad kijang itu dilakukan demi kebaikan pasukan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Dalam perkembangan berasingan, Bibi menegaskan pasukan itu tidak akan melepaskan penjaga gol berpengalamannya, Khairul Fahmi Che Mat yang sedang diintai beberapa kelab Liga Malaysia.

Katanya, khidmat Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek yang dianggap antara pemain senior masih diperlu skuad The Red Warriors (TRW) dalam mengharungi cabaran musim depan.

"Siapa nak jaga gol kita kalau dia yang berpengalaman nak disunting? Kita takkan lepaskan dia. Khidmatnya masih lagi diperlukan," katanya.

Malah, tegas Bibi, beliau tidak mula melatah dengan khabar angin tersebut memandangkan Apek masih lagi mempunyai kontrak bersama TRW sehingga hujung tahun depan.

"Dia masih lagi ada kontrak sehingga akhir tahun 2018. Lagipun gaji dia dinaikkan mengikut kontrak terdahulu," katanya.

Zahasmi Ismail, Kelantan

Artikel Berikut

Artikel Lain