suria

Tuah Akram Mahinan Di Kedah

HUJAN emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri.

Peribahasa itu  membawa maksud, walaupun  begitu makmur dan mewah hidup di negeri orang, negeri sendiri tetap yang paling baik.

Mungkin itu juga yang dirasai pemain tengah Kedah, Akram Mahinan yang pulang ke negeri kelahirannya selepas empat tahun mewakili Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ketika menyarung jersi kelab gergasi selatan itu, Akram tidak pernah merasai debaran perlawanan akhir Piala Malaysia.

Namun, apabila pulang ke negeri Jelapang Padi, pemain kelahiran Kulim berkenaan telah mampu merasai dua perlawanan akhir iaitu saingan Piala FA (juara) dan Piala Malaysia.

Oleh itu, Akram, 24, hampir melengkapkan koleksi peribadi kejuaraan di Liga Malaysia setelah turut memenangi Piala Sumbangsih awal musim lalu.

"Saya berterima kasih kepada bekas Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang bawa saya ke sini dan berjaya memenangi dua piala. Saya juga bertuah kerana kini dapat berguru dengan Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

"Sekarang saya perlu memenangi satu piala lagi bersama rakan-rakan. Walaupun baru semusim tetapi kejayaan ini cukup manis untuk saya.

"Matlamat saya dan rakan sekarang adalah untuk membawa pulang semula Piala Malaysia ke Alor Setar walaupun kami tahu perlawanan ini bukan mudah untuk dilalui," katanya.

Akram menambah, dia akan terus menabur bakti buat skuad hijau kuning selagi khidmatnya diperlukan.

Kedah, Piala Malaysia, JDT

Artikel Sebelum

Peminat Masuk Padang Peluk Messi

Artikel Berikut

Sunderland Pecat Grayson

Artikel Lain