suria

Ronaldo Jawab Dakwaan Tuntut Gaji Lebih

Cristiano Ronaldo. -fotoREUTERS

CRISTIANO Ronaldo menjawab dakwaan bahawa dia telah menuntut gaji setanding Lionel Messi dan Neymar.

Bercakap selepas tewas kepada Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu, dia menafikan meminta Real Madrid menambah baik dan memperbaharui kontraknya dengan kelab tersebut.

Spekulasi itu timbul selepas Neymar menandatangani perjanjian lumayan dengan Paris Saint-Germain sekali gus menjadi kontrak paling mahal di dunia dan Messi baru-baru ini mencapai kata sepakat dengan Barcelona untuk kontraknya dipanjangkan.

Penyerang itu, yang menjaringkan gol tunggal Madrid dalam kekalahan 3-1 dengan Spurs bagaimanapun menolak dakwaan telah menekan pasukan supaya menambah baik kontraknya.

"Saya dalam keadaan sangat baik di Real Madrid, saya mempunyai kontrak empat tahun lagi dan saya tidak mahu memperbaharuinya, saya baik-baik saja," katanya kepada beIn Sports selepas perlawanan.

Madrid yang menjuarai Liga Juara-Juara selama dua musim kini berada dalam keadaan tergugat dan Ronaldo menyeru pasukannya untuk kembali mencatatkan kemenangan.

"Memang tak baik sebab kami kalah dan kami pernah menang, ia memang sesuatu yang tidak baik," katanya.

"Ia bukanlah seperti yang kami mahu, tetapi bola sepak berubah. Ia tidak berjalan dengan baik, tetapi kami mahu mengubahnya dan saya pasti kami mampu.

"Kami masih ada banyak masa untuk menjadi lebih baik dan saya yakin kami dapat melakukannya."

Dengan koleksi enam gol, Ronaldo adalah penjaring terbanyak Liga Juara-Juara setakat ini, sementara Madrid mengejar Spurs dalam Kumpulan H dengan tiga mata dengan baki dua perlawanan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain