NEMANJA Matic berada dalam misi untuk mengalahkan pasukan lamanya, Chlesea dan bekas bosnya, Antonio Conte. Bintang Manchester United itu mengakui dia tidak peduli jika dia di'boo' oleh peminat Blues ketika dia kembali ke Stamford Bridge. Matic sedar pertembungan United dengan kelab lamanya Ahad ini akan menjadi satu perlawanan sengit dan 'panas'. Pemain dari Serbia itu tanpa disangka-sangka menyertai United dalam perpindahan £40 juta yang mengejutkan pada musim panas lalu. Keputusan Conte untuk menjual Matic dikatakan menjadi salah satu keputusan yang paling teruk dalam kerjayanya sebagai pengurus. Antonio Conte. -fotoAFP Kini Matic berminat untuk membuatkan pengurus dari Itali itu berasa lebih bersalah dengan nekad untuk mengabaikan tindakan penyokong, sebaliknmya mahu membantu United mencipta kemenangan sekali gus meraih gelaran. Dia berkata: "Apabila saya bermain di sana saya, selalu memberi 100 peratus dan kami menang dua gelaran bersama dan memenangi piala. "Saya yakin peminat menghormatinya, tetapi jika tidak, saya tak peduli pun. "Satu-satunya perkara yang dapat saya katakan, sekarang saya gembira menjadi sebahagian daripada United. "Saya gembira dapat bekerja dengan Jose Mourinho. Itu sahaja yang boleh saya katakan. "Seperti yang saya katakan, ketika saya bermain di Chelsea, saya selalu memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan, tetapi sekarang Manchester United adalah kelab saya dan saya akan cuba menang di sana." Matic menegaskan dia tidak perlu membuktikan apa-apa apabila kembali ke Stamford Bridge. "Sekarang saya pemain United saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk pasukan saya dan memungut mata di sana. "Saya menjalani kehidupan yang baik di sana, tiga tahun setengah, tempoh masa yang panjang, dan tentu saja ia akan menjadi sesuatu yang istimewa bagi saya apabila bermain semula di stadium itu. "Cuma sekarang saya di pihak lawan, saya perlu profesional dan melakukan yang terbaik untuk pasukan saya. "Anda patut tanya orang lain jika saya perlu membuktikan apa-apa. "Yang saya tahu, ketika saya bermain di sana, saya telah menunjukkan kualiti saya. "Kami menang dua kali gelaran dan juga dua piala, jadi saya tidak perlu membuktikan apa-apa kepada mereka. "Saya hanya perlu membuktikan sesuatu kepada kelab baharu saya." -dailystar