PETALING JAYA: Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) tampil memperjelaskan isu tiket final Piala Malaysia yang didakwa tidak mencukupi untuk peminat skuad hijau kuning. Timbalan Presiden KFA Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, pembahagian tiket final di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini telah dibuat secara telus tanpa mementingkan mana-mana pihak. "Kita buat (edar) cara telus bukan nak bagi kat siapa pun, tak ada siapa nak serah pada parti politik pun. "Bila mai rakyat Kedah ni tak sebut Umno ka siapa pun. Parti politik pun rakyat Kedah juga. Mungkin ramai sangat jadi tak cukup nak tampung," katanya pada sidang media pagi Khamis. Pertikaian mengenai jumlah tiket yang dijual mula heboh selepas penyokong mendakwa jumlah yang dijual di kaunter terlalu sedikit berbanding yang diperuntukkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Tidak cukup dengan itu, Presiden FAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil meluahkan kekecewaan terhadap layan yang diberikan KFA kepada penyokongnya sendiri. Syed Unan Mashri memberitahu, KFA menerima tiket sebanyak 34,00 keping dan 4,000 telah dijual menerusi dalam talian. "Baki darippada 30,000 tu, sebanyak 17,600 dijual kepada pengurusan bas yang melibatkan 400 buah bas. "Ada 1,800 tiket pula dijual kepada 36 badan gabungan KFA manakala pemain dan pegawai 1,200. Ahli badan eksekutif KFA dapat 200, untuk KFA 200 dan penaja 500. "Jadi Jumlah keseluruhan 22,000 tiket dan baki 8,000 lagi tu dijual di kaunter jualan," jelasnya.