PETALING JAYA: Pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi meluahkan perasaannya selepas pasukannya tewas pada saingan akhir Piala Malaysia pada Sabtu malam. Krasniqi atau mesra dipanggil 'Mat Don' nyata kelihatan kecewa selepas Kedah tewas 2-0 kepada Johor Darul Tak'zim (JDT) dalam persaingan sengit di Stadium Shah Alam itu. Mat Don memuatnaik beberapa keping gambar di laman Instagramnya dengan status motivasi untuk dirinya. Antara luahan hatinya menerusi status itu, Mat Don berhasrat untuk bangkit dan tidak akan berhenti menjadi lebih baik. Malah lebih penting lagi, Mat Don juga mengakui dia tidak akan berputus asa. Berikutan statusnya itu, rata-rata netizen menyokong Mat Don dan memberi kata-kata semangat untuk terus bermain dengan Kedah serta bangkit dan membawa kejayaan kepada skuad Kedah. Pada perlawanan tersebut, skuad Helang Merah gagal mempertahankan trofi yang dijulang musim lalu biarpun telah mempamarkan saingan yang menarik. Manakala JDT menamatkan kemarau 26 tahun trofi Piala Malaysia selepas kali terakhir memenanginya pada 1991.