suria

Apa Status Saya?

PETALING JAYA: Meskipun kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hanya akan berakhir hujung bulan ini, Zahasmi Ismail yang direhatkan daripada mengendali skuad The Red Warriors (TRW) sejak Oktober lalu masih tertanya-tanya mengenai masa depannya bersama pasukan tersebut.

Zahasmi berkata, sehingga hari ini beliau tidak tahu status sebenar dirinya bersama skuad Kijang itu.

"Kalau ikutkan saya masih terikat dengan Kafa sehingga hujung bulan ini. Namun apabila ditanya mengenai masa depan saya bersama Kelantan, saya sendiri tiada jawapannya.

"Saya sendiri tidak tahu apa status sebenar saya. Adakah khidmat saya masih diperlukan? Saya tidak tahu kerana pihak pengurusan tidak berhubung dengan saya sejak direhatkan. Namun segalanya terpulang kepada mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Zahasmi, Kafa sepatutnya bersikap profesional dan harus berani untuk menyuarakan apa jua keputusan mereka terhadap kedudukannya.

"Bagi saya dalam bola ni, kita kena profesional tak payah berselindung. Nak atau tak nak? Mudah. Kalau nak... cakap nak, kalau tak nak...buang.

"Daripada kita makan hati bertahun-tahun, lebih baik kita makan hati dua hari. Tak payah tunggu lama-lama," katanya.

Jelas bekas pemain Kelantan itu, beliau hanya mendengar 'cakap-cakap' pihak tertentu bahawa khidmatnya masih diperlukan Kafa.

"Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran itu kerana saya hanya dengar cakap-cakap di kedai kopi... tak ada surat. Ada kata saya masih lagi jadi coach cuma tak tahu untuk pasukan mana... beliakah... presidenkah atau Liga Super," katanya.

Ditanya sekiranya Kafa menawarkannya kontrak baharu untuk terus menerajui skuad TRW, Zahasmi berkata, beliau akan mempertimbangkan tawaran tersebut dengan mengambil kira beberapa faktor.

"Saya akan pertimbangkan mengikut apa yang patut saya lakukan, contohnya dari segi kebebasan mengurus pasukan. Ini kerana tahun 2017 dah jadi pengalaman yang cukup mengecewakan.

"Banyak sudah saya berkorban untuk orang lain. Saya tak boleh buat apa yang saya nak. Macam mana saya nak bertanggungjawab kalau sesuatu keputusan itu bukan daripada saya," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan beliau turut dirisik kelab lain, Zahasmi menegaskan perkara itu sudah menjadi lumrah apabila bergelar seorang jurulatih.

"Biasalah apabila jadi coach, mana-mana mesti ada offer tetapi segalanya bergantung kepada rundingan dan perbincangan. Ia normal dalam bola sepak.

"Saya pun belum buat apa-apa keputusan. Lagipun keluarga menjadi keutamaan saya ketika ini. Kalau boleh saya mahu duduk dekat dengan mereka," katanya.

Zahasmi Ismail, TRW

Artikel Sebelum

Status Zahasmi: Apa Kata Bibi?

Artikel Berikut

Artikel Lain