ANTOINE Griezman dilapor telah mencapai persetujuan awal untuk menyertai kelab baharu pada akhir musim ini. Walaupun sering dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United, namun Le10Sport mendakwa pemain tersebut akan ke Barcelona. Selain itu, pemain Perancis berkenaan juga dikatakan telah mendapat 'lampu hijau' dari Atletico Madrid untuk ke Camp Nou. Griezman didakwa akan ke Barcelona selepas kelab itu bersetuju untuk menebus kontrak bernilai £178 juta yang enggan diterima United sebelum ini. The Sun sebelum ini mendakwa Griezman akan ke Old Trafford disebabkan pengaruh adiknya yang merupakan penyokong setia United. Namun, khabar angin kaitan pemain berkenaan dengan United mula reda apabila Theo Griezman memadam status Twitternya yang menunjukkan gambar Old Trafford.