LEGENDA Chelsea, Didier Drogba tampil mendedahkan punca yang menyebabkan permulaan hambar pasukan itu pada musim 2017-2018. Jelas Drogba, kemerosotan prestasi Chelsea adalah disebabkan penglibatan kelab itu di pentas Liga Juara-Juara. Tersingkir daripada kejohanan itu musim lalu, Chelsea memenangi 30 daripada 38 aksi Liga Perdana Inggeris sekali gus membolehkan mereka menjulang trofi tersebut. The Blues memenangi tiga perlawanan terakhir mereka termasuk pertemuan dengan Manchester United di Stamford Bridge sebelum rehat aksi antarabangsa. Namun pasukan kendalian pengurus Antonio conte itu kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Manchester City. Dan Drogba yang pernah memenangi empat trofi termasuk Liga Juara-Juara bersama Chelsea yakin kejohanan tersebut menjejaskan tumpuan pasukan untuk mempertahankan gelaran juara EPL yang dimenangi musim lalu. "Apa yang berlaku sekarang adalah normal. Dua tahun lalu mereka juga berada di ambang penyingkiran. "Tahun lalu, dengan satu perlawanan seminggu, segalanya berjalan dengan lancar. Pengurus tampil dengan kaedah drastik dan kelab menjadi juara semula. "Anda harus menyesuaikan diri dengan perlawanan setiap tiga hari semula dan memenuhi tuntutan untuk mendapatkan keputusan yang baik. "Anda perlu berada di tahap terbaik setiap hari, ia tidak mudah," katanya. Chelsea akan berkunjung ke Hawthorns menentang West Brom, Sabtu ini.