WAYNE Rooney berusaha keras untuk membuktikan kepada isterinya, Coleen bahawa dia kini sudah berubah. Rumah tangga pasangan tersebut yang dibina sembilan tahun lalu nyaris berantakan apabila Rooney ditahan memandu dalam keadaan mabuk kereta mililk seorang wanita yang dikenali sebagai Laura Simpson. Susulan itu, Coleen yang kini hamil anak keempat mereka dilihat keluar tanpa memakai cincin perkahwinan mereka. Namun, sumber yang rapat dengan pasangan terbabit mendakwa mereka kini sudah berbaik dan bersedia menyambut kelahiran bayi keempat. "Rooney berusaha keras untuk membuktikan dia sudah berubah dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangi hati Coleen. "Dengan kelahiran bayi keempat mereka tidak lama lagi, Coleen mahu segalanya kembali normal," kata sumber itu. Pasangan tersebut yang sudah mempunyai tiga anak lelaki yang diberi nama, Kai, 8, Klay, 4, dan Kit, 22 bulan tidak mendedahkan jantina bayi keempat mereka. Namun Rooney dan Coleen amat inginkan seorang anak perempuan untuk melengkapkan keluarga mereka. "Mereka amat teruja menunggu kelahiran bayi keempat itu dan mahukan bayi perempuan untuk melengkapkan keluarga mereka," kata sumber itu.