PENGURUS ARSENAL, Arsene Wenger berkata, kecederaan urat tendon yang dialami pemain Santi Cazorla digambarkan sebagai yang paling teruk pernah diketahuinya. Bintang kelahiran Sepanyol itu nyaris kehilangan kakinya selepas terkena jangkitan berbahaya semasa pemulihan daripada kecederaan parahnya sebelum itu. Keadaan tersebut menyebabkan beliau kehilangan urat tendon sepanjang lapan sentimeter pada buku lali kanannya. Pemain berumur 32 tahun itu tidak bermain untuk Arsenal sejak Oktober 2016 dan Wenger menyifatkan keadaan yang dialami oleh pemain tengah berkenaan sebagai sesuatu yang sangat menakutkan. Bagaimanapun, beliau berharap untuk membawa masuk Cazorla dalam skuadnya pada separuh kedua musim ini bermula Januari sebaik sahaja pemain itu pulih sepenuhnya. Wenger berkata: "Ia adalah kecederaan paling teruk yang saya tahu. "Ia bermula dengan sakit pada uratnya dan keadaannya bertambah teruk. "Saya tahu sejauh mana keinginan Cazorla untuk turun padang, dan mengalami keadaan itu di luar saban hari membuatkan saya bersimpati dengannya. "Ia sesuatu yang sukar untuk dipercayai. Kali terakhir saya melihatnya sebulan lalu, dan saya beritahu dia untuk bersedia dan boleh cuba berlatih. "Saya berharap dia kembali pada Januari depan," ujar Wenger. - Mail Online