BINTANG Real Madrid Cristiano Ronaldo melepaskan geram terhadap rakan pasukannya di bilik persalinan selepas terikat 0-0 dengan Atletico Madrid. Real Madrid berdepan laluan getir untuk memenangi trofi La Liga musim ini selepas mempamerkan aksi hambar ketika berdepan Atletico. Ronaldo turut gagal menambah koleksi jaringannya untuk musim ini. Dengan keputusan seri itu, ini bermakna Real ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona. Menurut portal Sepanyol, Don Balon, Ronaldo tidak dapat menyembunyikan perasaan marahnya sebaik wisel penamat dibunyikan. Ronaldo turut mempertikaikan komitmen pemain Real dan memberitahu rakan pasukan bahawa mereka tidak akan memenangi sebarang trofi jika prestasi mereka terus merosot. Bagaimanapun Dani Carvajal yakin Real masih boleh mengejar Barcelona. "Kedudukan agak jauh ketinggalan daripada Barcelona tetapi pasukan akan memberikan apa sahaja. Jika kita beraksi pada tahap maksimum setiap minggu, kita boleh merapatkan semula kedudukan itu," katanya.