CARLOS Soler merayu kepada Valencia supaya melepaskannya pada Januari depan agar dia dapat merealisasikan impian untuk berhijrah ke Manchester United, lapor The Sun. Jose Mourinho kecewa selepas United gagal mendapatkan khidmat pemain sayap Inter, Ivan Perisic pada musim panas lalu. Namun beliau telah mengenal pasti Soler sebagai pemain alternatif untuk menggantikan Perisic. Soler menonjol bersama Valencia sejak disenaraikan dalam skuad utama pasukan musim ini. Pemain berusia 20 tahun itu bagaimanapun telah menandatangani kontrak baharu dengan kelab Sepanyol itu baru-baru ini. Ia menyaksikan klausa pelepasan sebanyak 71 juta pound sterling dalam kontrak baharunya. Namun United yakin masalah kewangan yang dihadapi Valencia akan menyebabkan kelab itu setuju dengan bidaan yang dikemukakan mereka. The Sun mendakwa Soler menuntut Valencia supaya bersetuju dengan tawaran yang dikemukakan United. Pada awal minggu ini, perancang berbakat itu bermain tarik tali mengenai masa depannya apabila mendakwa fokus membantu Valencia mengekalkan prestasi konsisten mereka musim ini. "Anda sudah mengetahuinya. Saya fokus bersama Valencia. Mengenai khabar angin itu (Manchester United) saya tidak tahu apa-apa. "Saya perlu kekal fokus. Saya masih ada beberapa tahun lagi (dalam kontrak) dan itulah yang saya ingin lakukan," katanya.